Custom Search

Saturday, April 2, 2011

Sejarah Kampung Bukit Anak Dara, Kijal

Rebut kawasan bukit

Laporan SUHAIDI MOHAMED AMIN
am@hmetro.com.my
 
 
SEKALI dengar namanya, ramai menyangka Kampung Bukit Anak Dara di Kemaman, Terengganu ada kaitan dengan anak dara hingga menyebabkan ia dinamakan sedemikian.
Ramai juga menganggap kampung itu mempunyai ramai anak dara jelita sehingga mendorong pengasasnya menamakan kawasan tempat tinggal mereka begitu. Namun di kalangan penduduk setempat, apa yang dibayangkan tidak tepat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Anak Dara, Mohd Yusof Mohamad berkata, beliau difahamkan kampung itu dinamakan demikian kerana penerokanya berebut-rebut menjadikan satu kawasan berbukit di perkampungan itu sebagai tapak rumah masing-masing.

“Pengasas kampung ini, Allahyarham Che Ku Long Che Ku Awang bersama 11 lagi penduduk datang membuka kampung ini pada 1968.


“Ketika itu, mereka tertarik melihat sebuah kawasan berbukit di situ. Semua 11 penduduk itu berminat menjadikan kawasan bukit yang cantik itu sebagai tapak rumah masing-masing.

“Melihat kesungguhan penduduk terbabit yang tidak mahu mengalah antara satu sama lain, Che Ku Long bergurau dengan mengatakan cara mereka berebut mendapatkan kawasan bukit terbabit umpama berebut menyunting hati seorang anak dara sunti untuk dijadikan isteri,” katanya.

Menurutnya, seorang demi seorang penduduk terbabit kemudian memacak kayu di kawasan landai di bukit berkenaan sebagai tanda sempadan kerana terlalu ingin memiliki tanah di situ bagi dijadikan tapak rumah.

“Tindakan mereka boleh diibaratkan sebagai tanda ingin merisik atau meminang sebagaimana dilakukan lelaki apabila sudah berkenan dan ingin memperisterikan gadis idaman,” katanya.

Menurutnya, melihat berlaku perebutan tanah di kawasan bukit itu, Che Ku Long meminta bantuan Pejabat Tanah Daerah Kemaman untuk menyelesaikan perkara itu supaya salah faham tidak berlanjutan.

“Beberapa juru ukur datang mengukur dan membahagikan kawasan tanah itu kepada penduduk untuk didirikan rumah kediaman mereka yang kekal sehingga sekarang.

“Namun, yang lucunya apabila ada penduduk menceritakan juru ukur terbabit juga berebut untuk mengukur kawasan tanah berbukit itu sehingga penduduk bergurau mengatakan mereka juga seperti berebut anak dara,” katanya.

Menurut Mohd Yusof, peristiwa perebutan tanah itu mungkin mendorong Che Ku Long dan penduduk lain bersetuju menamakan kampung itu sebagai Kampung Bukit Anak Dara yang kini mempunyai lebih 500 penduduk.

“Satu lagi versi cerita punca kampung ini dinamakan sedemikian ialah ada penduduk mendakwa terjumpa sebuah kubur lama di atas bukit berkenaan yang dipercayai kubur seorang anak dara yang meninggal dunia satu masa dulu, namun sehingga kini kubur itu tidak pernah ditemui.

“Kebanyakan penduduk yang datang meneroka kampung ini ialah dari Kampung Darat dan Kampung Penunjuk, Kijal berhampiran Bukit Kemuning,” katanya.

Mohd Yusof yang juga Ketua Kampung Bukit Anak Dara berkata, sebelum pembukaan kampung berkenaan pada 1968, kawasan itu dikenali sebagai Kampung Baru tetapi tiada orang menetap di situ, sebaliknya hanya ada beberapa kebun milik penduduk berhampiran.

“Selepas Che Ku Long meninggal dunia pada Ogos 2006, saya diberikan tanggungjawab dan kepercayaan untuk memimpin kampung seluas kira-kira 24 hektar ini sehingga sekarang.

“Penduduk di sini mengamalkan kegiatan pertanian dengan menanam tanaman kontang seperti tembikai dan beberapa tanaman lain yang sesuai dengan keadaan tanah bukit yang kering bagi menyara kehidupan mereka,” katanya.

Selain itu, penduduk mengusahakan tanaman pertanian secara berkelompok seperti jagung manis, limau nipis dan pisang emas.

Kampung Bukit Anak Dara terletak dalam Mukim Kijal dan hanya 10 kilometer dari bandar Chukai, Kemaman.

Mohd Yusof berkata, penduduk kampung turut mengusahakan ladang kelapa sawit melalui kerjasama antara JKKK dengan Lembaga Penyatuan Tanah Pertanian (Felcra).

“Penduduk juga mengusahakan secara bersama projek penternakan seperti kambing baka yang kini mencecah 100 ekor dan memelihara ikan air tawar seperti keli dan talapia di dalam lebih 20 kolam.

“Sumber pendapatan lain penduduk kampung ini ialah perusahaan lemang Kijal yang terletak di jalan utama Kuantan ke Kuala Terengganu sejak berpuluh tahun lalu.

“Jika melalui simpang empat antara kampung ini dengan pekan Kijal dan jalan Kuala Terengganu-Kuantan, kita dapat melihat deretan lebih 30 gerai lemang Kijal yang majoritinya dimiliki penduduk kampung ini,” katanya.

Menurutnya, kampung berkenaan turut dilengkapi masjid, sekolah rendah dan menengah, tadika, balai raya, wakil pos serta gelanggang permainan.

“Antara kemudahan asas lain ialah bekalan air bersih dan elektrik ke semua 146 rumah penduduk, jalan berturap dalam kampung sepanjang lebih 10 kilometer, kemudahan liputan telefon bimbit dan pusat komputer dengan capaian Internet,” katanya.


FAKTA

Kampung Bukit Anak Dara di Kijal, Kemaman, Terengganu

  • Dibuka oleh Allahyarham Che Ku Long Che Ku Awang bersama 11 lagi penduduk pada 1968

  • Kini mempunyai lebih 500 penduduk

  • Berkeluasan 24 hektar

  • Terletak dalam Mukim Kijal dan hanya 10 kilometer dari bandar Chukai, Kemaman

  • Terkenal dengan perusahaan lemang Kijal

  • 1 comment:

    1. Assalamualaikum.. Tuan boleh cerita tentang Bukit Kemuming di kijal

      ReplyDelete

    Pengunjung Suka...!!!!