Custom Search

Wednesday, February 16, 2011

TATiUC tawar kepakaran di Indonesia (Bandar Baru Kijal)

KEMAMAN 15 Feb. - Kolej Universiti TATI (TATiUC) dan Institut Ujian Tanpa Musnah (IINDT), Indonesia menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membolehkannya menawarkan kepakaran kepada rakyat negara itu dalam bidang ujian tanpa musnah (NDT).
Melalui langkah terbaru itu, TATiUC yang diwakili oleh anak syarikatnya, Ruane-TATI Sdn. Bhd. (RTSB) menawarkan perkhidmatan profesional bagi melahirkan 140 orang tenaga mahir dalam bidang yang akan memenuhi permintaan industri.
Pengurus Besar RTSB, Mohd. Ali Mohamad berkata, institusi itu bersedia melangkah lebih jauh dengan menawarkan perkhidmatan profesionalnya kepada negara luar yang memerlukan.
Katanya, RTSB yang memiliki hampir 15 tahun pengalaman melatih kepakaran sumber manusia dalam bidang itu sudah dikenali umum di dalam dan di luar negara sebagai pusat yang melahirkan pakar-pakar NDT.
"Antara intipati persefahaman ini adalah RTSB akan memastikan latihan dan peperiksaan berjalan dengan lancar di IINDT dengan menghantar tenaga pengajar dan pemeriksa yang bertauliah.
"Ia turut mendapat pengiktirafan daripada British Institute of Non-Destructive Testing (BINDT) manakala pihak IINDT pula akan melakukan kerja-kerja pemasaran dan menyediakan semua kelas, peralatan dan kebajikan para pelajar,"katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Majlis MoU itu disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Turut hadir Rektor TATiUC, Dr. Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim dan Pengarah IINDT, Berry Wiraprima.
Tambah Mohd. Ali, IINDT yakin dengan kemampuan institusi itu untuk melatih tenaga kerjanya setaraf dengan Sijil Profesional Tahap Tinggi yang diiktiraf oleh kebanyakan negara di dunia.
Sehingga kini, katanya, RTSB telah melatih 40 orang pekerja mahir di IINDT dan selebihnya sehingga hujung tahun itu yang bakal berkhidmat di sektor minyak dan gas, pembinaan serta automotif.
"Kerjasama ini akan diteruskan untuk jangkamasa akan datang memandangkan ia dapat memberi manfaat dan juga menguntungkan kedua-dua pihak," ujarnya.
Sebelum ini, katanya, RTSB turut mengadakan kerjasama serupa dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) dan Pejabat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi melatih tenaga mahir dalam bidang yang sama.

Sumber :- Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Pengunjung Suka...!!!!