Custom Search

Wednesday, December 15, 2010

Fasa pertama majukan Kijal pusat tekstil terbesar

KEMAMAN 3 Mei 2010 - Fasa pertama pembangunan Bandar Baru Kijal yang akan menempatkan pusat tekstil terbesar di Pantai Timur dijangka mula dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, ketika ini proses pengeluaran tender sedang berjalan dan ia dijangka selesai tidak lama lagi.
Beliau berkata, fasa pertama pembangunan bandar baru itu seperti jalan raya dan infrastruktur lain akan disiapkan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.
''Kita akan selaraskan usaha pembangunan ini dengan semua agensi terlibat bagi mempercepatkan dan memudahkan proses pelaksanaan.
''Penyelarasan ini perlu dilakukan bagi mengelak berlakunya pertindihan kerja antara agensi-agensi berkenaan. Kita tidak mahu jalan yang sudah siap dibina dikorek semula untuk membuat perkara lain," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Bandar Baru Kijal di Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di Bandar Chukai di sini hari ini.
Beliau memberitahu, pembangunan Bandar Baru Kijal akan dilaksanakan dalam beberapa fasa dan ia dijangka disiapkan dalam tempoh lima tahun akan datang.
''Kita sudah membuat perancangan yang terperinci dan kini sedang menunggu pelaksanaannya," jelasnya.
Beliau berkata, pembinaan sebanyak 120 unit kedai telah disiapkan dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.
''Sebanyak 44 buah rumah kedai tiga tingkat yang akan menjual tekstil juga telah disiapkan.
''Kita hendak menjadikan pusat tekstil di Kijal ini seperti pusat tekstil di Nilai Tiga, Negeri Sembilan," ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal.
Beliau memberitahu, pasar raya besar Giant pula dijangka dibuka dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Sumber :- Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Pengunjung Suka...!!!!